Hikmah, Rahasia, Serta Faedah Berpuasa

Puasa mempunyai banyak kelebihan: antaranya, dapat mengangkat darajat manusia, mampu menghapuskan dosa-dosa yang telah lalu, mematahkan keinginan yang tidak berpatutan, memperbanyakkan sedekah kepada yang memerlukan, melengkapi ketaatan kepada Allah,, dan mampu mencegah dari bahaya maksiat dan sebarang godaan Syaitan Laknatullah Alaihi. Adapun puasa dapat mengangkat darjat, ia sepertimana sabda Rasulullah, “Apabila datang bulan Ramadhan, maka terbukalah pintu-pintu Syurga, dan tertutuplah pintu-intu Neraka, dan syaitan-syaitan pula dirantai.” [Muslim: 1079]

Dan juga sabda Nabi . – ketika menceritakan kata dari Tuhannya Azza wa Jalla: “Setiap amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa, karena ia adalah untukKu, dan Akulah (sahaja yang berhak) memberi ganjaran pahala padanya. Puasa adalah pelindung. Apabila seseorang dari kamu berpuasa, maka janganlah kamu berkata kotor (mencela) pada hari itu, dan jangan pula kamu berteriak (bergaduh). Sekiranya dia dihina oleh seseorang atau diajak berkelahi, maka katakanlah: Sesungguhnya aku orang yang sedang berpuasa. Demi diri Muhammad ditanganNya, perubahan bau mulut orang berpuasa lebih wangi disisi Allah pada hari kiamat berbanding bau harum kasturi. Bagi orang yang berpuasa itu ada dua kegembiraan yang akan mengembirakannya : 1) Apabila dia berbuka, maka dia bergembira dengan makanannya, 2) dan apabila dia bertemu dengan tuhannya, maka dia bergembira dengan amalan puasanya. [Muslim: 1151]

Penjelasan:

Adapun, terbukanya pintu-pintu Syurga adalah sebuah ibarat yang diberikan kepada banyaknya perbuatan ketaatan (di bulan Ramadhan) yang mewajibkan terbukanya pintu Syurga.

Dan tertutupnya pintu Neraka pula adalah ibarat ke atas sedikitnya perbuatan maksiat (di bulan Ramadhan) yang mewajibkan tertutupnya pintu Neraka.

Dan terantainya syaitan pula adalah ibarat ke atas terpotongnya keraguan yang mereka timbulkan terhadap orang berpuasa. Karena mereka tidak mampu mendorong orang berpuasa kearah maksiat.

Dan firman Allah, “Setiap amalan anak Adam itu adalah untuk dirinya, kecuali puasa, karena ia adalah untuk Aku dan Akulah yang (berhak) memberi ganjaran padanya.”

Allah menggaitkan puasa kepada dirinNya adalah satu kaitan kemulian. Karena puasa tidak terdapat padanya perasaan riya, disebabkan ia adalah suatu yang tersembunyi. Dan Kata Allah : (( Akulah yang memberi ganjaran padanya )) secara umumnya, Allahlah yang memberi ganjaran kepada segala amalan ketaatan, dan maksud yang dikehendaki dari ayat tersebut adalah : membesarkan pahala puasa tersebut.

Asal bagi ibadah ialah melaksanakan ketaatan tanpa menjadikan hikmah sebagai perkara utama yang perlu difikirkan. Sekalipun tidak dapat dijelaskan sebarang hikmah daripada sudut sains atau akal, ibadah hendaklah diteruskan karena menepati nilai ketaatan. Kita hendaklah mengajar masyarakat Islam dengan nilai ketaatan melebihi hikmah. Sehingga mereka menjadikan ibadah itu dengan sebenar-benarnya. Hikmah pula berpernan menambah rasa seperti makanan yang ditambah gula dan garam.

***

Sebelum kita memanjangkan pembahasan, setiap Muslim hendaklah memahami bahwa puasa pada bulan Ramadhan adalah suatu ibadah yang telah difardhukan oleh Allah Taala.

Apa yang dimaksudkan sebagai puasa itu adalah ibadah ialah: Setiap orang Islam yang melakukannya karena semata-mata mematuhi perintah Allah Subhanahu wa ta’ala dan melaksanakan tanggungjawab penghambaan, tanpa melihat sebarang kesan yang mungkin didapati daripada ibadah Puasa tersebut.

Sekalipun seseorang Muslim melakukan ibadah seperti itu, tiada halangan bagi siapa yang berpuasa melihat apa-apa hikmah dan rahasia Ilahi yang tersembunyi di dalam ibadah puasa atau selainnya. Adalah tidak diragui bahawa semua hukum Allah mempunyai hikmah, rahasia dan faedah untuk hamba-hambanya, namun mereka tidak disyaratkan mengetahui kesemuanya itu.

Ibadah puasa mempunyai beberapa hikmah dan faedah yang mungkin diketahui oleh sesetengah orang, tetapi banyak lagi yang masih tersembunyi daripada pengetahuan mereka.

Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

Pertama: Puasa yang sempurna akan menyedarkan hati orang yang beriman untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Ini karena orang yang berpuasa akan berasa lapar dan dahaga sebaik sahaja dia melalui sebagian daripada waktu siangnya. Nafsunya ingin makan dan minum, namun wujud perasaan yang menyedari dirinya berpuasa, lantas menghalang keinginan tersebut. Dalam menghadapi dugaan sebegini, hatinya sedar terhadap pemerhatian Allah, lantas ia dilindungi di dalam ingatan terhadap ketuhanan (rububiyah) Allah serta keagungan pemerintahan-Nya. Seperti mana ia benar-benar menyedari bahawa dia adalah seorang hamba yang sentiasa tunduk kepada hukum Allah dan patuh pada perintah-Nya.

Kedua: Bulan Ramadhan merupakan bulan yang suci berbanding semua bulan. Allah Subhanahu wa ta’ala menghendaki hamba-Nya supaya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ketaatan yang menghampirkan diri kepada-Nya. Serta dipraktikkan makna penghambaan yang tertinggi kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Ini jelas apabila Muslim berada di hadapan hidangan makanan, majlis minum-minuman, sedangkan jauhnya perut daripada menjadi penuh sehingga wap makanan telah naik sehingga ke fikiran dan otak. Pensyariatan puasa ini adalah cara yang termudah untuk menunaikan hak Allah dan tanggungjawab hamba kepada-Nya.

Ketiga: Kekenyangan yang terus-menerus dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat keras hati dan keterlaluan. Kedua-duanya bertentangan dengan sifat seorang Islam. Justeru, pensyariatan puasa dapat mendidik jiwanya dan mengurangkan sifat-sifat tersebut.

Keempat: Sifat berkasih sayang menjadi teras dalam membangunkan masyarakat Islam. Akan tetapi, orang kaya tidak dapat menghayati kasih sayang yang sebenar terhadap orang miskin tanpa merasai keperitan, kesempitan hidup dan kepahitan hidup yang diburu kelaparan. Oleh itu, bulan puasa merupakan waktu terbaik bagi golongan kaya untuk menyelami perasaan orang miskin. Sehingga menjadikan ia hidup bersama-sama dalam keperitan dan kekurangan. Justeru itu, puasa adalah jalan terbaik untuk memberi kesan kepada jiwa orang-orang kaya yang membela kelembutan, kasih sayang, dan persamaan kedudukan.