Bulan Rajab merupakan salah satu dari ‘al-Asyur al-Hurum’ (bulan-bulan haram) selain bulan Muharram, DDzulqaidah dan DDzulhijjah. Bulan-bulan haram merupakan bulan mulia sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam surah al-Taubah ayat 36, yang berarti, “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah ketika Dia menciptakan langit dan bumi. Di antaranya empat bulan haram (yang dihormati). Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya)….”
Abu Bakrah meriwayatkan, Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Sesungguhnya masa itu beredar sebagaimana hari Allah mencipta langit dan bumi iaitu setahun itu ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan haram (yang dihormati) iaitu tiga bulan berturut-turut: Dzulkaedah, Dzulhijjah, dan Muharram. Seterusnya Rajab iaitu antara bulan Jamadilakhir dan Sya’ban.” (Hadits shahih diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim).
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rajab ialah agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rajab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rajab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut mayorias ulama’ ia terjadi pada 27 Rajab.
Namun isu yang timbul ialah kemuliaan bulan Rajab sebagai salah satu bulan haram telah dicemari dengan pengagungan yang bersumberkan kepada riwayat/hadits palsu yang direka-reka yang diistilahkan dalam ilmu hadits sebagai hadits maudhu’.
Mengagungkan bulan Rajab bukanlah satu persoalan yang baru. Ia telah pun ada pada zaman Jahiliyyah; sebelum kedatangan Islam. Masyarakat Arab Jahiliyah begitu mengagungkan bulan Rajab sehingga mereka menjadikannya sebagai perayaan. Antara amalan populer yang dilakukan oleh sebagian orang Islam di Malaysia apabila datangnya bulan Rajab ialah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk melakukan puasa sunat Rajab dan menghidupkan malam dengan shalat sunat Rajab.
Umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia umumnya; kini dan dahulu, telah disajikan dengan pelbagai janji manis jika melakukan sesuatu amalan khusus di bulan Rajab. Satu kebenaran yang perlu dijelaskan kepada umat Islam ialah tiada amalan khusus dalam bulan Rajab yang diriwayatkan dari Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam dari hadits shahih. Amalan tertentu seperti solat sunat Rajab, puasa Rajab dan umrah di bulan Rajab adalah sebagian kecilnya bersandarkan kepada hadits lemah (dhaif) dan kebanyakkannya adalah hadits palsu (maudhuk).
Kasus mencemarkan bulan Rajab dengan janji-janji dari sumber yang palsu ini sudahpun ada sekian lama. Antara ulama terdahulu yang membongkar usaha golongan pemalsu hadits yang membuat pembohongan terhadap Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam berkaitan kelebihan bulan Rajab dan amalan khusus padanya, antaranya ialah Imam ahli hadits Abu al-Khattab ‘Umar bin Hasan ibn Dihyah (w. 633H) yang mengarang buku yang bertajuk ‘Ada’ ma wajab min bayan wad’ al-wadda’in fi Rajab (Melaksanakan apa yang wajib dengan menerangkan pemalsuan yang dilakukan oleh pembohong berkaitan Rajab)’ dan Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) yang mengarang risalah yang bertajuk ‘Tabyin al-‘ajab bi ma warada fi fadhl Rajab (Menjelaskan perkara yang pelik berkaitan dengan apa yang disampaikan tentang kelebihan Rajab)’.
‘Atha; seorang ulama tabi’in menjelaskan, Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam melarang dari berpuasa penuh sebulan bulan Rajab agar ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata’if al-ma’arif, hlm. 11). Ibnu Hajar al-‘Asqalani menjelaskan,
“Larangan dari berpuasa sebulan penuh pada bulan Rajab adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rajab.
Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rajab adalah lebih utama dari bulan lain, tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rajab bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan. Begitu juga dengan individu yang menghidupkan malam bulan Rajab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain. Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rajab sahaja dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rajab, maka ia adalah amalan yang dilarang.” (Tabyin al-‘ajab, hlm. 49).
Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani menjelaskan tujuan beliau mengarang risalah yang bertajuk ‘Tabyin al-‘ajab bi ma warada fi fadhl Rajab’ : “Telah berulang-ulang pertanyaan yang dikemukakan tentang kelebihan bulan Rajab, tentang berpuasa dan solat sunat padanya. Serta untuk menjelaskan yang mana hadits yang shahih dan yang palsu.” Kesimpulan dari analisa yang dilakukan oleh Imam Ibnu Hajar ialah, “Langsung tidak terdapat hadits shahih yang boleh dijadikan hujah tentang kelebihan bulan Rajab, puasa sunat khusus Rajab, juga solat sunat qiyamullail khusus Rajab… namun begitu terdapat sebagian ulama yang membenarkan menerima hadits yang menjelaskan tentang kelebihan bulan Rajab walaupun hadits itu dhaif, tetapi tidak boleh diterima jika ia hadits mauduk.”
Antara kelebihan bulan Rajab dan amalan khusus padanya yang bersumberkan riwayat/hadits palsu ialah:
- “Hendaklah kamu memuliakan bulan Rajab niscaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari Qiamat.” Riwayat ini palsu kerana ia direka oleh seorang periwayat hadits yang dilabel oleh ulama hadits sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
- “Bulan Rajab Bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, dan bulan Ramadhan bulan umatku.” Riwayat ini palsu kerana ia direka oleh seorang periwayat hadits yang dilabel oleh ulama hadits sebagai seorang pembohong iaitu Abu Bakar Muhammad bin Hasan al-Naqqasy. Dalam rantaian periwayat hadits ini juga terdapat individu yang tidak dikenali seperti al-Kassa’i.
- “Kelebihan bulan Rajab dari segala bulan seperti kelebihan Quran atas segala zikir. “Riwayat ini palsu kerana ia direka oleh seorang periwayat hadits yang dilabel oleh ulama hadits sebagai seorang pembohong iaitu Abu al-Barakat Hibatullah ibn al-Mubarak al-Saqati.
- “Barangsiapa berpuasa tiga hari pada bulan Rajab, Allah menuliskan untuknya pahala berpuasa sebulan. Barangsiapa yang berpuasa tujuh hari ditutup baginya tujuh pintu neraka. Barangsiapa berpuasa lapan hari, Allah membuka baginya lapan pintu syurga. Barangsiapa berpuasa setengah bulan Rajab, Allah menuliskan untuknya memperoleh keredaanNya, Barangsiapa yang ditulis baginya keredaanNya, orang itu tidak akan diazab. Barangsiapa yang berpuasa sebulan Rajab, Allah akan menghisab orang itu di padang Mahsyar dengan hisab yang mudah.” Riwayat ini palsu kerana ia direka oleh seorang periwayat hadits yang dilabel oleh ulama hadits sebagai seorang pembohong iaitu Aban bin Abi ‘Iyasy. Riwayat-riwayat lain yang menjelaskan kelebihan berpuasa mengikut bilangan hari di bulan Rajab juga riwayat palsu, antaranya direka oleh Uthman bin Matar, Harun bin ‘Antarah, dan Farrat bin al-Sa’ib.
- “Barangsiapa sembahyang maghrib pada hari pertama bulan Rajab, kemudian selepas itu dia bersembahyang sunat 20 rakaat dengan sepuluh kali salam, setiap rakaat dibaca surah al-Fatihah dan selepas itu membaca surah al-Ikhlas sekali, adakah kamu tahu pahalanya?” Riwayat ini palsu kerana ia direka oleh seorang periwayat hadits yang dilabel oleh ulama hadits sebagai seorang pembohong iaitu al-Husayn bin Ibrahim. Terdapat riwayat palsu lain yang direka menjelaskan kelebihan tertentu jika bersembahyang sunat dengan bilangan rakaat tertentu dengan bacaan tertentu pada bulan Rajab. Antara individu lain yang bertanggungjawab membuat riwayat palsu tersebut ialah Ali bin Abdullah bin Jahdam, Aban bin Abi ‘Iyasy. Sembahyang tersebut juga diistilahkan sebagai sembahyang sunat Ragha’ib.
- “Bersedekah pada bulun Rajab dijauhkan Allah dari api neraka.” Riwayat ini palsu kerana ia direka oleh seorang periwayat hadits yang dilabel oleh ulama hadits sebagai seorang pereka hadits iaitu Aban bin Abi ‘Iyasy.
Haram Menyebar Hadits Palsu
Al-Mughirah bin Syu’bah meriwayatkan, Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Sesungguhnya pembohongan yang dilakukan ke atasku adalah tidak sama dengan pembohongan yang dilakukan ke atas orang lain. Barangsiapa yang membuat pembohongan terhadapku dengan sengaja, maka bersedialah dia dengan tempat duduknya di dalam api neraka.” (Hadits shahih diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari).
Syeikh Abu Asma’ Ibrahim bin Ismail Ali ‘Asr menjelaskan dalam pendahuluannya kepada suntingan karya Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani yang bertajuk ‘Tabyin al-‘ajab bi ma warada fi fadhl Rajab’, ramai dalam kalangan pendakwah, penceramah, guru agama, khatib yang tidak sensitif terhadap hadits maudhuk, sehingga mereka menyampaikannya kepada masyarakat tanpa berusaha mengenalpasti status sesuatu hadits. Perkara merbahaya ini boleh menceburkan mereka dan anggota masyarakat yang menyebarkan hadits palsu dalam ancaman Nabi, “Barangsiapa yang berdusta terhadapku, maka bersedialah tempatnya di dalam api neraka”. Walaupun mereka tidak berniat untuk melakukan pendustaan terhadap Rasulullah, tetapi dengan tindakan mereka menyebarkan hadits palsu sedangkan mereka sudah dijelaskan kepalsuan hadits itu, mereka telah terjebak dalam melakukan pendustaan terhadap Rasulullah Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam.
Abu Hurairah meriwayatkan, Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda, “Cukuplah seseorang itu sudah dianggap berdosa dengan dia menyebarkan segala berita yang didengar tanpa disiasat terlebih dahulu.” (Hadits shahih diriwayatkan oleh Imam Muslim).
Umat Islam tidak perlu disajikan dengan pahala dan fadhilat untuk melakukan amalan khusus hanya di bulan Rajab sahaja, sedangkan ia bersumberkan riwayat/hadits palsu yang merupakan pembohongan terhadap Nabi Muhammad saw. Adalah amat baik kita dapat melazimi diri dengan melaksanakan amal ibadah secara berterusan yang bersumberkan dalil yang benar dari al-Quran dan hadits shahih; tentang kelebihan menghidupkan malam dengan solat sunat seperti tahajud dan witir, puasa sunat Senin-Kamis, puasa sunat hari ke 13, 14, dan 15 setiap bulan, puasa sunat selang sehari seperti cara puasa Nabi Daud.
Marilah sama-sama kita memelihara kemuliaan bulan haram seperti bulan Rajab ini dari dicemari dengan hadits palsu.
Wallahu a’lam.