Sejarah Pensyariatan Puasa Ramadhan

Puasa bulan Ramadhan telah difardhukan pada bulan Sya’ban tahun ke‐2 Hijrah[1].

Sebelum itu amalan puasa telah pun biasa dilakukan di kalangan umat terdahulu dan ahlikitab yang sezaman dengan Nabi. Hal ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah al‐Baqarah, ayat 183:

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa (Ramadhan) sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu,[2] supaya kamu bertaqwa. [Al-Baqarah : 183][3]

Akan tetapi kewajiban berpuasa pada bulan Ramadhan belum disyariatkan lagi ketika itu. Persamaan antara mereka dengan umat‐umat terdahulu adalah dari segi pensyariatan puasa itu saja. Kemudian umat Nabi Muhammad secara khususnya difardhukan puasa bulan Ramadhan.

____

[1] Pada masa yang sama juga difardhukan Zakat Fitrah. Pada tahun ini jugalah berlakunya peperangan Badar al-Kubra dan Umat Islam kali pertama menyambut Hari Raya pada tahun ini.

[2] Maksudnya, orang yang terdahulu telah diwajibkan juga untuk berpuasa tetapi tanpa ditentukan pada bulan Ramadhan. Justeru itu, puasa orang terdahulu itu tidak jauh bezanya dengan puasa umat Muhammad SAW. Ia adalah syariat yang telah diketahui cara dan bentuknya.

[3] Sayid Qutub berkata: “Demikianlah ayat ini menonjolkan tujuan agung dari ibadat puasa itu iaitu untuk mencapai taqwa. Taqwa itulah yang bersemarak di dalam hati ketika ia mengerjakan fardhu puasa karena menjunjung perintah Allah dan mengutamakan keredhaan‐Nya. Taqwa itulah yang mengawal hati dari merosakkan ibadat puasa dengan maksiat walaupun maksiat yang berbisik di dalam hati. Orang‐orang yang dihadapkan ayat‐ayat al‐Quran ini kepada mereka memang sedar betapa tingginya maqam taqwa di sisi Allah dan betapa berat timbangannya di dalam neraca Allah. Taqwa itulah matlamat yang ditujukan oleh jiwa mereka, dan ibadat puasa hanya merupakan salah satu alat untuk mencapai taqwa dan salah satu jalan yang menyampaikan kepada taqwa. Oleh sebab itulah ayat ini mengangkatkan taqwa di hadapan mata mereka selaku matlamat yang gemilang yang dituju oleh mereka menerusi ibadat puasa.”

Leave a Comment