Puasa Ramadan menjadi wajib apabila sempurnanya perkara berikut:
- Islam
Puasa tidak diwajibkan ke atas orang kafir. Bermaksud, di dunia ini dia tidak dituntut untuk berpuasa karena puasa adalah satu cabang yang dikira apabila dia masuk ke dalam Islam. Selagi dia tidak masuk Islam maka tidak ada makna bagi puasanya dan tidak ada makna dia dituntut untuk berpuasa. Adapun di akhirat, mereka akan disiksa karena kekafirannya dan karena dia meninggalkan cabang-cabang Islam.
- Taklif
Maksud taklif ialah orang Islam itu telah berakal dan baligh. Sekiranya hilang salah satu dari dua sifat ini maka jatuhlah darinya sifat taklif. Apabila jatuh sifat taklif maka dia tidak dituntut sedikitpun melaksanakan tugas-tugas keagamaan.
Dalilnya ialah hadis Ali Radhiyallahu ‘Anhu bahwa Nabi Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda:
“Diangkat qalam (tulisan amalan) dari tiga jenis manusia, dari orang tidur sehingga dia bangun, dari kanak-kanak sehingga dia bermimpi (baligh) dan dari orang gila hingga dia berakal” [Abu Daud (4403) dan selainnya].
- Tiada Keuzuran Yang Menghalangnya Berpuasa Ataupun Mengbolehkannya Berbuka
Keuzuran yang menghalang berpuasa ialah:
- Berada di dalam keadaan haid atau nifas pada mana-mana bahagian waktu siang.
- Pengsan ataupun gila sepanjang hari. Sekiranya dia sadar pada waktu siang walaupun satu saat, maka hilanglah keuzuran dan dia wajib menahan diri untuk hari tersebut.
Keuzuran yang mengbolehkan berbuka ialah:
- Sakit yang mendatangkan mudarat yang besar ataupun kesakitan dan kekhawatirann yang amat dahsyat kepada orang yang berpuasa. Jika penyakitnya itu menjadi semakin parah ataupun kesakitan itu semakin dasyat (jika dia berpuasa), dan dia bimbang dia akan binasa ( الهلك ) (sekiranya dia meneruskan puasanya), maka pada waktu itu dia wajib berbuka.
- Musafir yang jauh yang tidak kurang dari 83 km dengan syarat ia adalah pemusafiran yang dibenarkan dan mencakupi seluruh hari. Mengenai seorang yang berpuasa, pada waktu paginya dia bermukim, kemudian dia bermusafir pada waktu siang, maka dia tidak dibenarkan berbuka. Dalil kedua-dua penguzuran ini ialah firman Allah:
“Dan siapa yang sakit atau dalam musafir maka (dibolehkan berbuka, kemudian wajib diganti puasanya) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain”. (Al-Baqarah:185)
iii. Tidak mampu berpuasa. Oleh itu tidak wajib berpuasa disebabkan terlalu tua atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh karena puasa hanya wajib terhadap orang yang mampu melakukannya. Dalilnya adalah firman Allah swt:
“Dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (karena tua dan sebagainya) membayar fidyah (dengan) memberi makan orang-orang miskin”. (Al-Baqarah:184)
Dibaca juga jika mereka tetap diwajibkan melakukannya (puasa), nescaya mereka tidak mampu melakukannya.
Ibnu Abbas Radhiyallahu ‘Anhu berkata: “Yang dimaksudkan ialah orang lelaki dan perempuan yang terlalu tua, keduanya tidak mampu untuk berpuasa, kedua-duanya hendaklah menggantikan setiap hari puasa dengan memberi makan seorang fakir miskin.” Riwayat Al-Bukhari (4235)]
Syarat Sah Puasa
Syarat sah puasa ialah:
- Islam, tidak sah puasa orang kafir.
- Berakal yang bermaksud mumayyiz, tidak sah puasa orang gila dan kanak-kanak yang belum mumayyiz karena mereka tidak memiliki niat. Puasa kanak-kanak yang sudah mumayyiz adalah sah. Apabila usianya mencapai 7 tahun, dia hendaklah diminta supaya berpuasa jika dia mampu melaksanakannya. Apabila usianya mencapai 10 tahun, dia hendaklah dipukul karena meninggalkannya sebagaimana sembahyang.
- Tidak mempunyai keuzuran yang menghalangnya dari berpuasa seperti berada dalam keadaan haid atau nifas, pengsan atau gila sepanjang hari.